Pemulangan semula secara paksaan

Negara asing yang menjalankan campur tangan asing mungkin cuba memaksa atau mengugut individu untuk meninggalkan New Zealand tanpa kerelaan mereka dan kembali ke negara asal. Ini dikenali sebagai pemulangan semula secara paksaan.

Untuk melakukan ini, negara asing boleh:

  • mengenakan larangan perjalanan terhadap individu, atau ahli keluarga serta kenalan mereka, bagi menyekat pergerakan dan mewujudkan tekanan supaya mereka kembali ke negara asal.
  • membekukan aset kewangan mereka di negara asal
  • mengganggu atau menakut-nakutkan ahli keluarga, rakan, atau kenalan mereka di negara asal, atau menekan mereka supaya memujuk individu tersebut untuk kembali ke negara asal.

Adalah penting untuk diingat bahawa pemulangan semula secara paksaan bukanlah sesuatu yang akan dialami oleh kebanyakan orang, walaupun mereka menjadi sasaran campur tangan asing.

Ekstradisi

Apa itu ekstradisi

Ekstradisi ialah satu proses undang-undang rasmi antara negara untuk mengembalikan seseorang bagi menghadapi pertuduhan jenayah atau menjalani hukuman. Prosedur ekstradisi New Zealand diperincikan dalam Akta Ekstradisi 1999.

Ekstradisi undang-undang bukanlah satu bentuk campur tangan asing.

Bilakah permohonan ekstradisi boleh dibuat

Jika pertuduhan jenayah telah difailkan terhadap seseorang di negara asal mereka, atau mereka belum menyelesaikan hukuman, negara tersebut boleh membuat permohonan ekstradisi kepada negara tempat individu itu kini menetap.

Sebuah negara yang memohon ekstradisi boleh bergantung sama ada pada perjanjian antarabangsa atau pada undang-undang domestik negara asing berkenaan. Akta Ekstradisi tidak mewajibkan sesebuah negara asing mempunyai perjanjian untuk membuat permohonan ekstradisi daripada New Zealand.

Permohonan ekstradisi ialah satu permohonan untuk menangkap dan mengembalikan individu berkenaan bagi menghadapi perbicaraan atau meneruskan hukuman di negara asal.

Cara New Zealand mengendalikan permohonan ekstradisi

Di New Zealand, permohonan ekstradisi yang dibuat oleh negara lain akan dipertimbangkan oleh Kerajaan dan mahkamah.

Undang-undang New Zealand mewajibkan pihak berkuasa menolak permohonan ekstradisi jika ia digunakan untuk melaksanakan penganiayaan politik.

Ini termasuk situasi di mana seseorang sedang didakwa dengan tujuan menghukum mereka atas faktor kaum, asal etnik, agama, kewarganegaraan, jantina, atau status lain, atau kerana pendirian politik mereka, atau bagi kesalahan yang bersifat politik (seperti yang berkaitan dengan pandangan atau aktiviti politik seseorang).

New Zealand juga boleh menolak permohonan ekstradisi daripada negara asing jika tuduhan terhadap individu tersebut tidak dibuat dengan niat baik dan tidak selaras dengan kepentingan keadilan. Permohonan boleh ditolak jika, setelah mempertimbangkan semua keadaan, menghantar individu tersebut kembali akan menjadi tidak adil atau menindas.

Cara pengurusan ekstradisi di New Zealand

Jika terdapat waran tangkap yang sah atau pertuduhan jenayah daripada negara lain, Kerajaan New Zealand menguruskan proses ekstradisi melalui prosedur rasmi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Pihak berkuasa asing tidak boleh menangkap, menahan atau mendekati individu di New Zealand sebagai sebahagian daripada proses ekstradisi.

Di mana untuk mendapatkan bantuan

Wakil undang-undang dan nasihat perundangan

Jabatan kerajaan mengendalikan proses ekstradisi, tetapi mereka tidak boleh memberikan nasihat undang-undang kepada individu.

Ini bermaksud sesiapa yang berdepan dengan permintaan ekstradisi harus menghubungi peguam yang pakar dalam ekstradisi, hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.

Ketahui lebih lanjut tentang sokongan undang-undang yang tersedia di New Zealand di sini.

Muat turun maklumat ini di sini - Maklumat lanjut akan dimaklumkan kemudian